Diskaun harga 50 hingga 70 peratus diberi selain ganjaran mata perbatuan
PENERBANGAN Malaysia (MAS) memperkenalkan langkah inovatif dengan menawarkan empat opsyen tambang baru bagi penumpang kelas ekonomi iaitu 'MHlow Fare', 'MHbasic', 'MHsmart' dan 'MHflex'.

Pengarah Urusan yang juga Ketua Eksekutifnya, Datuk Idris Jala, berkata MHLow Fares yang disasarkan kepada pengembara bajet dan penuntut, menawarkan diskaun tiket sehingga 70 peratus dengan syarat pembelian dibuat sekurang-kurangnya 30 hari lebih awal.
Katanya, MHbasic yang disasarkan kepada individu kerap mengembara, menawarkan diskaun tambang sehingga 50 peratus dan meng-hendaki pembelian dibuat 14 hari sebelum tarikh berlepas.
Bagi mereka yang mahukan keanjalan dan kemudahan tambahan, beliau berkata MHSmart menawarkan 75 peratus mata perbatuan Enrich dan elaun bagasi sehingga 25 kilogram, dengan syarat pembelian tiket dibuat tujuh hari sebelum berlepas.
"Tiket MHflex pula boleh dibeli bila-bila masa dan tempahan boleh ditukar tanpa kos tambahan, selain menikmati 125 peratus mata perbatuan Enrich," katanya sambil menambah keempat-empat opsyen berkenaan boleh dinikmati semua penerbangan domestik, manakala bagi penerbangan antarabangsa seawal Februari tahun depan.
Beliau berkata demikian pada taklimat media mengumumkan opsyen tambang baru berkenaan di Kuala Lumpur, semalam.
Idris menjelaskan, pelanggan dijamin dapat terus menikmati perkhidmatan lima bintang MAS, termasuk makanan dan minuman dalam penerbangan, jadual penerbangan mudah, pelepasan mengikut masa, elaun bagasi minimum 20 kilogram serta faedah lain.
Ditanya mengenai tinjauan jualan tiket bagi 2009, beliau tidak menafikan kelembapan ekonomi global akan menjadikan persaingan di kalangan peserta industri bertambah sengit tahun depan.
"Dalam persekitaran ekonomi paling mencabar ini, akan ada pemenang dan yang kalah. Pemenangnya ialah mereka yang memiliki pelan perniagaan betul.
"Bagi MAS, pengenalan tambang kompetitif bagi pakej standard dengan opsyen perkhidmatan ini selaras apa yang digariskan dalam Pelan Transformasi Perniagaan 2 (BTP2) MAS," katanya.
Idris menambah, pihaknya yakin opsyen tambang baru itu akan meningkatkan faktor muatan bagi laluan tertentu dan dapat mengekalkannya bagi laluan lain.
Sources: http://www.bharian.com.my/Current_News/BH/Tuesday/Ekonomi/20081215231948/Article/
Copied at 16 Dicember 2008