Perjalanan sejarah yang menuju ke lembah Sungai Langat sehingga tiba ke kampus Universiti Kebangsaan Malaysia di Bangi cukup lama, bersimpang siur, sulit dan penuh masalah. Ia telah melalui berbagai tahap perkembangannya serta melibatkan ramai cendikiawan dan pemikir. Oleh itu, apabila Universiti Kebangsaan Malaysia tertubuh
secara rasmi pada 18hb. Mei 1970, dan bertapak di kampus sementaranya di Lembah Pantai, Kuala Lumpur. Universiti ini mengungkapkan secebis sejarah dan impian bangsa Malaysia sendiri. Untuk meneliti sejarahnya kita harus menoleh jauh kebelakang, pada dekad dua puluhan, apabila A. Kadir Adabi, seorang tokoh pendidik, mencadangkan supaya sebuah universiti ditubuhkan untuk orang Melayu.
Walaupun bahasa pengantarnya tidak beliau sebutkan, kita dapat menyimpulkan bahawa Allahyarham telah memikirkan penubuhan sebuah universiti yang ada kaitannya dengan keperluan pendidikan orang Melayu dan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Sungguhpun sejarah penubuhan universiti ini bertolak dari tuntutan rakyat bumiputera Semenanjung Malaysia, dan berakarkan konsep nasionalisme, namun hasil yang timbul dari wacana ini ialah sebuah "Universiti Kebangsaan" untuk seluruh rakyat Malaysia. Idea ini ialah tunas pertama yang tumbuh dari semaian benih gagasannya.
Tunas ini berpucuk pada dekad tiga puluhan. Akan tetapi seperti tunas pertamanya itu pucuk ini tidak terus tumbuh membesar lantaran suasana zaman penjajahan yang tidak mengizinkan semaian ini digembur dan dibaja oleh orang Melayu. Walaupun pucuk pimpinan ini tidak menjadi daun, semaian ini tetap dilindungi dan tersimpan rapi dalam tapak kesedaran bangsanya. Pucuk dari semaian ini mula menjadi daun hijau dan membesar pada sekitar dekad empat puluhan dan lima puluhan, dan kali ini dijaga serta dibajai oleh Persekutuan Guru-Guru Melayu Semenanjung yang berusaha untuk menempatkan bahasa Melayu di atas pentas kehidupan kebangsaan, dan meningkatkan darjat persekolahan aliran Melayu sehingga para pelajarnya dapat melanjutkan pelajaran mereka ke peringkat universiti menerusi suatu sistem pelajaran yang lebih peka terhadap hasrat kebangsaan rakyat Semenanjung Tanah Melayu. Dalam masa yang sama ini juga golongan pendidik aliran Islam turut berganding bahu menyuburkan pohon kecil ini yang mereka harapkan akan juga menjadi tempat berteduh bagi para pelajarnya.
sources from: http://www.ukm.my